Showing posts with label Sejarah Bible. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Bible. Show all posts

Thursday, December 18, 2008

Sejarah Bible Siri 3


Bible yang ada pada hari ini ditulis dengan berpandukan salinan-salinan yang tidak sempurna ini. Sejarah juga membuktikan bahawa kisah hidup Nabi Isa (Jesus) yang terdapat di dalam Bible (Bahagian Gospels) disusun berdasarkan cerita orang-orang dahulu. Hal ini disebutkan di dalam New Bible Dictionary “Kebanyakan kisah hidup Nabi Isa (Jesus) diperoleh melalui khabar-khabar lisan sebelum ia ditulis dalam bentuk yang kita kenali sekarang”(5). Di dalam Peake’s Commentary on The Bible disebutkan “Memang diketahui umum, Gospel adalah berasaskan khabar-khabar lisan ornag-orang Kristian terdahulu dan hal ini melahirkan pelbagai variasi berhubung perkataan dan perlakuan Nabi Isa (Jesus). Semua ini dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja oleh penuli-penulis Bible...”.(6)

Penulis Bible sering tidak menyalin dengan tepat kisah Nabi Isa. Hal ini diakui oleh tokoh Kristia Bruce M. Metzger di dalam The Text of The New Testament, “Penulis-penulis tidak menyalin dengan tepat segala sumber yang mereka temui, sebaliknya mereka menulis pentafsiran mereka sendiri berhubung sumber-sumber itu. Mereka melakukannya bagi membetulkan kesilapan penulis-penulis lain tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah mereka sendiri telah melakukan kesilapan dengan tindakan mereka itu”. (7)

Perkara yang sama juga turut berlaku ke atas Kitab Perjanjian Lama seperti yang disebutkan di dalam The Interpriter’s Dictionary of The Bible yang bermaksud “Banyak kisah yang terdapat dalam Perjanjian Lama mengikut gaya dan olahan penulis-penulisnya...”(8).

Tambahan lagi, sebahagian sumber Bible tidak diketahui asal usulnya tetapi soalnya kenapa Bible masih mendapat tempat dan diiktiraf sebagai Kalam Tuhan Yang Suci sehingga disebut Holy Bible?. Di dalam The Cambridge History of The bible disebutkan “Kebanyakan tulisan di dalam Perjanjian Baru adalah dari sumber yang tidak diketahui asal usulnya kecuali surat-surat yang ditulis oleh St. Paul”(9).

Penjelasan-penjelasan ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa Bible yang ada pada hari ini tidak boleh diiktiraf sebagai Kalam Tuhan secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, ajaran Kristian dari A to Z tertolak sebagai ajaran yang benar kerana ajaran Kristian semestinya bersumberkan Bible atau Alkitab. Justeru, saya menyeru semua rakan-rakan Kristian agar kajilah ISLAM!!! Moga dibukakan pintu hidayah buat kalian...


5) New Bible Dictionary. 2nd Edition. Inter –Varsity Press, 1982. hal 436.
6) Peake’s Commentary on The Bible. Thomas Nelson and Sons Ltd 1919 Hal 633.
7) Bruce M. Metzger.The Text of The New Testament Oxford University Press Hal 195.
8) The Interpriter’s Dictionary of The Bible Vol 4 Hal 683.
9) The Cambridge History of The Bible Vol 1 1970 Hal 233.

Tuesday, December 9, 2008

Sejarah Bible Siri 2


Pendapat yang sama disebut di dalam The Catholic Encyclopedia “Bible yang lengkap seperti yang asal masih wujud sebenarnya tidak berasas sama sekali. Bible yang kini menjadi pegangan umum kini, seperti juga Kitab Perjanjian Lama, telah melalui beberapa perkembangan dan proses …sehingga akhirnya isi-isinya diputuskan secara rasmi oleh Majlis Trident atau Tridentint Council. (2)

Ada antara tokoh-tokoh Kristian yang berpendapat, Bible adalah dokumen yang dikeluarkan oleh pihak gereja. Justeru, gerejalah yang menentukan isi Bible dan bukan Bible yang menentukan perjalanan Gereja. Hal ini disebutkan oleh Paderi Besar dari Gereja Ortodoks di Denver iaitu His Eminence Metropolotan Isiah of Proikonisou and Presiding Hierarch of the Greek Orthodox Diocese of Denver iaitu His Eminence Metropolotan Isiah of Proikonisou and Presiding Hierarch of the Greek Orthodox Diocese of Denver di dalam Denver Buletin yang diterbitkan pada bulan Mac 1995, jilid3, no 3. Beliau berkata “landasan perjalanan gereja tidak didasarkan kepada Kitab Bible kerana isi Bible ditentukan oleh pihak gereja. Pada abad-abad awal agama kristian, tidak ada seorang manusia pun yang dapat menyentuh kitab yang bernama Bible kerana ia memang tidak wujud”. Pernyataan ini menunjukkan dalam agama Kristian, kedudukan gereja berada lebih tinggi berbanding Bible, dan berkuasa menentukan segala-galanya termasuk isi kandungan Bible. Sebaliknya, dalam agama Islam, Al-Quran berada ditempat atas dan menentukan segala perkara.

Oleh kerana Injil atau Bible yang asal tidak wujud lagi, penulis-penulis Bible terpaksa menggunakan pelbagai sumber yang tidak lengkap bagi menulis isi kandungan Bible. Di dalam The Anchor Bible Dictionary disebutkan “Disebabkan salinan asal bible tidak wujud lagi, isi kandungan Bible terpaksa ditulis dengan menggunakan teks-teks yang tidak sempurna maka seringkali berlaku percanggahan”. (3) Sumber-sumber yang tidak sempurna ini, wujud dalam bentuk salinan yang ditiru daripada salinan-salinan yang sebelumnya dan saling berbeza dan bercanggah.

Bart Ehrman, di dalam The Orthodox Corruption of Scripture berkata “Manuskrip Bible yang asal sudah tidak wujud lagi pada hari ini, yang ada hanyalah salinan yang ditiru daripada salinan-salinan yang sebelumnya. Sebanyak 5366 daripada salinan-salinan yang tua ini ditulis dalam Bahasa Greek Klasik atau Yunani Kuno antara abad ke-2 hingga ke-16 Masehi. Namun, yang menarik perhatian adalah tidak wujud persamaan kecuali sedikit sahaja antara satu salinan dengan salinan yang lain. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui jumlah sebenar perbezaan dan percanggahanini, tetapi ia mungkin mencecah ratusan ribu” (4)

2)George J Reid. The Catholic Encyclopedia, online addition, vol 3, 1999 (http://www. newadvent. org/ cathen/03274a.htm)

3)David Noel Freedman. The Anchor Bible Dictionary (CD Rom). Bab Textual Criticism, New Testament.

4)Bart Ehrman. The Orthodox Corruption of Scripture. Oxford University Press 1996 Hal 27

Monday, December 8, 2008

Sejarah Bible Siri 1

Bab atau surah yang terdapat di dalam Bible disebut dalam Bahasa Inggeris sebagai Book atau buku. Berdasarkan ini, Bible adalah himpunan 66 surah atau buku, 39 daripadanya dikenali sebagai Kitab Perjanjian Lama atau Old Testament. Manakala 27 buah lagi dikenali sebagai Kitab Perjanjian Baru atau New Testament. Kitab Perjanjian Lama mengandungi undang-undang Nabi Musa, kisah-kisah sejarah, puisi dan kebijaksanaan disamping satu bab yang dipenuhi ramalan-ramalan perkara akan datang.

Kitab Perjanjian Baru pula mengandungi kisah kehidupan Nabi Isa yang ditulis oleh tokoh agama Kristian yang bernama Matthew, Mark, Luke dan John. Tulisan-tulisan ini dikenali sebagai Gospels @ Injil. Disamping itu, Kitab Perjanjian Baru juga mengandungi surah atau buku The Acts (Kisah Para Rasul) yang mengisahkan keadaan agama Kristian pada peringkat awal kewujudannya, surat-surat yang ditulis oleh St. Paul (13 buah) dan tokoh-tokoh Kristian terdahulu dan sebuah buku yang bernama Revelation (wahyu).

Di dalam Encarta Encyclopedia disebutkan, “Bible agama Kristian mengandungi keseluruhan Kitab suci Agama Judaime yakni Agama Yahudi. Perkataan Old Testament atau Perjanjian Lama merujuk kepada tulisan yang berkaitan dengan agama Yahudi ini… Justeru, Bible Kristian mempunyai 2 bahagian iaitu Perjanjian Lama dan 27 buku Perjanjian Baru”. Bible yang asal tidak lagi wujud. Perkara ini disebutkan di dalam The Interpreter’s Dictionary of The Bible “Tulisan-tulisan asal Perjanjian Baru sudah lama tiada, perkara ini tidaklah mengejutkan kerana sumber-sumber itu ditulis di atas bahan-bahan yang tidak tahan lama”(1).

(1) George Arthur Buttrick. The Interpreter's Dictionary of The Bible, Vol 1. Abingdon Press 1962. Bab "Text NT", hal 599.

Bersambung siri 2...