Sunday, November 30, 2008

AGAMA UTAMA DUNIA & KONSEP KEESAAN TUHAN


Persamaan Berasaskan Aqidah

Secara dasarnya, semua agama utama di dunia hari ini berpegang pada konsep keesaan tuhan. Bagi agama Judaisme, konsep ini ditekankan dalam ayat Shema yang terdapat dalam (Deuteronomy 6:4) yang bermaksud : “Hear, O Israel, the Lord our God, the Lord is One,” dan mengikut Bible al-kitab keluaran The Bible Society Of Malaysia, ia bermaksud : “Ingatlah, hai Israel! Tuhan – dan Tuhan satu-satunya-ialah Allah kita.” (Ulangan 6:4)

Kalimat asal bagi ‘One’ atau ‘satu-satunya’ dalam ayat ini adalah ‘echad’. Menurut tokoh-tokoh agama Yahudi, kalimat ‘echad’dalam ayat ini digunakan dengan maksud ‘esa seesa-esanya’. Ia tidak ada kaitan langsung dengan konsep ‘tuhan tiga dalam satu’ seperti yang didakwa oleh tokoh-tokoh Kristian.

1500 tahun selepas itu, Nabi Isa menekankan konsep yang sama berpandukan ayat yang terdapat dalam (Mark 12:29), “The first of all the commandments is, Hear, O Israel; the Lord our God is one Lord”. Mengikut Bible al-kitab keluaran The Bible Society Of Malaysia, ia bermaksud : “Yesus menjawab: ‘Inilah perintah yang paling utama, ‘Dengarlah hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa...”.


Konsep yang sama juga ditekankan dalam ajaran agama Hindu. Dalam Shetash-watar Upanishad bab 6 mantra 11 disebutkan “Tuhan bagi alam semesta ialah Dia Tuhan yang satu”. Di dalam Kenupanishad bab 1 mantra 3 pula disebutkan: “Dia tidak dapat dilihat oleh mata tetapi matanya melihat segala-galanya...”.

Namun, pada hari ini hanya Islam sahaja yang masih mengekalkan kemurniaan konsep tauhid ini. Agama Kristian sudah menyeleweng daripadanya dengan memasukkan konsep Tritunggal (Trinity) dalam ajarannya (sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini melalui beberapa Council). Berhubung dengan konsep Tritunggal ini, Edward Gibbon dalam prakata buku History Of Christianity berkata: “Jika agama Kristian dilihat telah berjaya mengalahkan ajaran sesat, ajaran Kristian juga berjaya dipengaruhi oleh ajaran itu. Konsep ketuhanan suci yang dipegang oleh golongan Kristian yang awal telah diubah oleh Gereja Rom menjadi dogma Tritunggal yang tidak masuk akal. Banyak falsafah sesat ciptaan orang-orang Mesir kuno yang dipuja oleh Plato diterima menjadi kepercayaan agama Kristian”.

Seorang lagi tokoh Kristian, Reverend William B. Chalfrant., pula berkata, “Kajian kami menunjukkan konsep Tritunggal berasal daripada falsafah sesat yang kemudiannya dimasukkan ke dalam ajaran Kristian.”

Perubahan juga berlaku ke atas agama Hindu. Konsep Tuhan Esa digantikan dengan konsep penyembahan patung berhala. Pendeta atau golongan Brahmin agama Hindu mendakwa Tuhan yang Esa dapat menjelma dalam kehidupan manusia dengan menggunakan pelbagai cara bertujuan mengenali kehidupan di dunia secara lebih dekat. Berhubung dengan ini, Dr. Chatterjee dalam tulisannya yang bertajuk Oh You Hindu Awake berkata: Golongan Brahmin mendakwa Tuhan Rama boleh menjelma menjadi manusia untuk memahami kesusahan hidup mereka. Perlukah Tuhan menjelma menjadi makhluk untuk memahami? Perlukah Tuhan menjadi keldai atau lipas untuk memahami makhluk-makhluk ini?”

Umat manusia sepatutnya kembali berpegang pada konsep keesaan Tuhan yang murni. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 64, “Katakanlah : “Wahai ahli Kitab, marilah berpegang kepada kalimat yang tidak ada perselisihan di antara kami dan kamu iaitu tidak ada yang disembah melainkan Allah dan kita tidak mempersekutukannya dengan sesuatu apa pun dan tidak pula kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain daripada Allah.”

Berdasarkan hujah dan fakta yang sahih tentang konsep tauhid ini, mudah-mudahan mampu mengetuk minda sesiapa sahaja dan sekali gus dapat menzahirkan kesucian dan kemurnian agama Islam berbanding agama lain.

No comments: