Showing posts with label Islam agama keganasan?. Show all posts
Showing posts with label Islam agama keganasan?. Show all posts

Saturday, November 8, 2008

ISLAM AGAMA KEGANASAN & BERKEMBANG DGN PEPERANGAN (PEMBUNUHAN)?SIRI 4

Sambungan siri 4......

5)Islam melayan tawanan perang dengan baik
Islam juga menuntut tawanan-tawanan perang dilayan dengan baik. Sebagai contoh dalam Perang Hunain, kaum Hawazin dikalahkan dan 6000 orang dijadikan tawanan perang. Akhirnya, semua mereka dibebaskan oleh tentera-tentera Islam.

Dalam Perang Badar, 70 orang dijadikan tawanan perang dan salah seorang antara mereka adalah saudara kepada Musab bin Umair. Beliau berkata, Mereka (orang Islam) berjalan kaki sedangkan kami (tawanan-tawanan perang) mengenderai kenderaan. Mereka menjamu kami dengan roti sedangkan mereka hanya memakan buah-buah tamar.”

6)Umat Islam memerintah Sepanyol selama 800 tahun.
Umat Islam memerintah Sepanyol lebih kurang 800 tahun. Umat Islam di Sepanyol tidak pernah menggunakan mata pedang untuk memaksa sesiapa menukar agama. Hanya kemudian, pejuang-pejuang Salibi Kristian datang ke Sepanyol dan menghapuskan umat Islam. Tiada seorang pun umat Islam di Sepanyol yang dapat melaungkan azan, iaitu seruan untuk solat secara terbuka.

7)Pertambahan agama di dunia daripada 1934 sehingga 1984.
Satu rencana di dalam Reader’s Digest ’Almanac’, buku tahunan 1986, memberikan statistik pertambahan peratusan agama utama di dunia dalam tempoh setengah abad daripada tahun 1934 sehingga 1984. Rencana ini juga disiarkan di dalam majalah The Plain Truth. Tempat teratas adalah Islam dengan peningkatan sebanyak 235% dan agama Kristian hanya meningkat dengan kadar 47%. Mungkin ada yang bertanya, perang apakah yang berlaku pada abad ini yang berjaya mengislamkan jutaan manusia?

8)Islam adalah agama paling cepat berkembang di Amerika dan Eropah.
Pada hari ini, agama yang paling cepat berkembang di Amerika adalah Islam. Agama yang paling cepat berkembang di Eropah adalah Islam. Mata pedang atau perang manakah yang memaksa orang-orang Barat menerima Islam dalam jumlah yang sebegitu tinggi?

Justeru itu, fakta-fakta daripada siri 1 hingga siri 4 ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam amat berperikemanusiaan serta membenci sebarang bentuk keganasan dan pembunuhan. Dakwaan bahawa Islam sukakan pembunuhan, keganasan, peperangan dan tidak berperikemanusiaan adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

Islam untuk semua...

Friday, November 7, 2008

ISLAM AGAMA KEGANASAN & BERKEMBANG DGN PEPERANGAN (PEMBUNUHAN)? SIRI 3

Sambungan siri 2...

4) Nilai kemanusiaan dalam peperangan

Dalam aspek peperangan, undang-undang antarabangsa berhubung dengan keselamtan awam hanya mula digubal pada tahun 1949 selepas selesai Konvensyen Geneva yang keempat.

Berhubung dengan ini, di dalam Encarta Encyclopedia disebutkan “4 konvensyen Geneva diadakan untuk membincangkan undang-undang antarabangsa berkaitan perang. Pada tahun 1864, konvensyen pertama diadakan berhubung dengan keselamatan tentera-tentera yang sakit dan cedera di medan peperangan. Pada tahun 1868, konvensyen yang ke-2 mengembangkan keputusan pertama untuk melibatkan juga keselamatan tentera laut. Konvensyen yang ke-3 pada tahun 1929 memberi jaminan keselamatan kepada tawanan-tawanan perang. Pada tahun 1949, konvensyen ke-4 diadakan dan ia mengembangkan semua keputusan awal. Antara ketetapannya ialah orang awam tidak boleh dibunuh, diseksa, diculik, dan dihukum di luar batas undang-undang yang ditetapkan.

Sebelum konvensyen Geneva diadakan umat Islam sudah mengutamakan keselamatan awam dalam peperangan. Mengikut riwayat Abu Daud, Nabi Muhammad bersabda, “Berperanglah dengan nama Allah dan kepercayaan kepadaNYA serta di atas landasan Rasul Allah. Jangan kamu bunuh orang-orang tua yang sakit, kanak-kanak yang masih kecil dan kaum wanita, dan juga jangan berkhianat.

Sabda Nabi Muhammad diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhammad bersabda, “Maka jangan sekali-kali dibunuh kanak-kanak, orang-orang yang bekerja secara upahan dan orang-orang perempuan.

Di dalam peperangan Mu’tah, Nabi Muhammad telah bersabda kepada tentera-tenteranya di saat mereka hampir bergerak ke perbatasan, “Jangan sekali-kali dibunuh orang-orang perempuan, kanak-kanak yang lemah, orang-orang tua yang tidak berdaya. Jangan sekali-kali membakar pokok makanan. Jangan memusnahkan pokok dan jangan meroboh tempat-tempat kediaman.

Ibnu Abbas meriwayatkan Nabi Muhammad telah bersabda, “Jangan sekali-kali kamu membunuh orang yang sedang berada di rumah-rumah penyembahan (gereja, kuil dan sebagainya),(maksudnya ahli agama mereka)

Lebih daripada itu, Islam melarang umatnya membunuh binatang-binatang ternakan, merosakkan bangunan serta alam sekitar dalam peperangan. Yahya Bin Said meriwayatkan, khalifah Abu Bakar semasa mengutus tentera Islam ke Syam berpesan kepada Yazid Bin Abu Sufyan yang pada masa itu memimpin salah satu pasukan tentera : Aku berwasiat kepada mu 10 perkara, 1.Jangan bunuh kaum wanita. 2.Jangan bunuh kanak-kanak. 3. Jangan orang-orang tua. 4.Jangan menebang pohon yang sedang berbuah. 5. Jangan merobohkan bangunan-bangunan. 6.Jangan menyembelih kambing dan unta melainkan untuk dimakan. 7.Jangan rosakkan pohon kurma. 8.Jangan berkhianat. 10.Jangan jadi pengecut. Hadis diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam kitab Muwatta.

Bersambung siri 4.......

ISLAM AGAMA KEGANASAN & BERKEMBANG DGN PEPERANGAN (PEMBUNUHAN)? SIRI 2

Sambungan siri 1...

3) PANDANGAN TOKOH BARAT

i) Arthur Gilman

Beberapa orang tokoh dari barat yang mengkaji Islam juga mendapati Islam bukanlah agama yang mengajak kepada peperangan serta keganasan. Sebagai contoh, Arthur Gilman di dalam bukunya The Saracens memberikan pandangan yang amat baik berhubung dengan sejarah peperangan yang melibatkan tentera-tentera Islam sebelum ini. Beliau berkata “Secara perbandingan, dalam Perang Salib pada tahun 1099M, golongan Kristian membunuh 70,000 orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak secara kejam, semasa menakluki Jerusalem. Begitu juga dengan tentera-tentera Inggeris yang berperang atas nama agama pada tahun 1874M. Mereka membakar ibu kota Afrika iaitu Gold Coast pada masa itu.

Sebaliknya, kemenangan Muhammad dalam peperangan adalah kemenangan agama bukannya politik. Beliau menolak sanjungan dan kemegahan. Bayangkan pada saat pembukaan Mekah semasa pembesar-pembesar Quraisy berlutut dihadapannya, beliau bertanya kepada mereka, “Apakah yang kamu rasa akan aku lakukan kepadamu? Mereka menjawab, “Kesejahteraan”. Muhammad berkata, “Ya, kamu dibebaskan”. Dakwaan pengkaji-pengkaji sejarah yang mengatakan Islam menggunakan pedang untuk memaksa manusia memeluk Islam adalah pandangan yang tidak berasas sama sekali.

(The Saracens 1887, Arthur Gilman; London; hal 62-63)

ii)De Lacy O’Leary

Jawapan terbaik kepada tanggapan salah bahawa Islam disebarkan melalui mata pedang diberikan oleh sejarawan terkemuka De Lacy O’Leary di dalam buku "Islam at the Cross Roads” (halaman 8) Sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa legenda umat Islam fanatik yang bergerak serata dunia dan memaksa kaum yang ditawan untuk memeluk Islam dengan cara kekerasan adalah sebenarnya salah satu mitos karut terhebat yang pernah diulangi oleh sejarawan.”

Berambung siri 3...

Thursday, November 6, 2008

ISLAM AGAMA KEGANASAN & BERKEMBANG DGN PEPERANGAN (PEMBUNUHAN)? SIRI 1

RESPON KEPADA EMAIL JOHN


Terima kasih kepada saudara John di atas email saudara kepada saya. Saudara John mohon penjelasan kepada saya tentang Islam sebagai agama keganasan dan berkembang dengan pedang (Pembunuhan). Jawapan ini juga saya tujukan kepada saudari Melica dan rakan-rakan ku daripada penganut kristian khususnya yang mempunyai tanggapan yang salah bahawa Islam agama keganasan dan menyuruh penganutnya membunuh.

Seringkali umat Islam ditonjolkan sebagai golongan yang dahagakan darah, tidak berperikemanusiaan dan sukakan peperangan dan keganasan. Perkara ini dikaitkan dengan insiden-insiden keganasan yang berlaku hari ini seperti tragedi 11 September 2001 kononnya dilakukan oleh umat Islam. Jika benar Islam diturunkan untuk mengajak manusia kepada keganasan, sudah pasti sejak awal lagi umat Islam diwajibkan bangun untuk memberontak dan berperang dengan golongan lain.

Fakta berikut akan menolak dakwaan bahawa agama Islam suka kepada keganasan dan perang serta menggunakan pedang (pembunuhan) untuk menyebarkan Islam; kewujudan kebenaran, sebab yang munasabah dan logik adalah yang bertanggungjawab terhadap penyebaran pesat Islam.

1) Islam bererti kesejahteraan.
Islam berasal dari kata akar ’salam’ bermakna sejahtera. Ia juga bermaksud menyerahkan kehendak diri kepada Allah. Oleh itu, Islam adalah agama kesejahteraan, diperolehi dengan menyerahkan kehendak diri kepada kehendak Allah Yang Maha Pencipta.

2)Tiada paksaan dalam beragama.
Dengan mata pedang manakah Islam disebarkan? Sungguhpun jika orang Islam memilikinya, mereka tidak boleh menggunakannya untuk menyebarkan Islam kerana di dalam Al-Qur’an disebut ayat berikut : "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat..”(Al- Baqarah 2:256)

Bersambung siri 2.........