Thursday, March 26, 2009

Asas Kepercayaan Kristian Yang Perlu Diketahui Siri 11 (Ketuhanan Jesus)

Kisah Melkisedek raja negeri Salem yang agung?

Apakah faktor yang menjadikan penganut Kristian menganggap Jesus sebagai Tuhan? Adakah kerana kelahirannya?Saya pernah bertanya kepada salah seorang rakan Kristian saya dan beliau menjawab bahawa “Dia dilahirkan tanpa bapa daripada kalangan manusia. Oleh itu, ia mesti mempunyai bapa dan kerana itu bapanya ialah Allah.

Al-Quran menolak teori ini dengan cara yang cukup mudah. Sesungguhnya contoh penciptaan Isa di sisi Allah adalah seperti penciptaan Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 59 yang bermaksud: “Jadilah (seorang manusia), maka jadilah ia”.

Jadi, kalau Jesus ialah Allah atau anak Allah yang sebenar kerana ia tidak mempunyai bapa dalam kalangan manusia, maka Adam adalah tuhan yang lebih besar daripadanya kerana dia tidak mempunyai bapa dan tidak mempunyai ibu. Hal ini adalah wajar dengan logik dan rasional akal. Lalu mereka mengatakan Adam diciptakan daripada tanah sedangkan Jesus dilahirkan daripada seorang perawan.

Namun pada kali ini, saya ingin memberitahu tentang seorang lagi nama yang disebut dalam kitab Bible yang tersebut dalam Surat kepada orang Ibrani, kisah Melkisedek raja negeri Salem yang agung. Siapakah dia????

InsyaAllah, saya akan sentuh pada siri akan datang....

Monday, March 23, 2009

Asas Kepercayaan Kristian Yang Perlu Diketahui Siri 10 (Ketuhanan Jesus)


Semua mukjizat yang dilakukan oleh Nabi Isa (Jesus) adalah dengan izin Allah SWT semata-mata bagi membuktikan bahawa beliau adalah seorang Rasul yang diutuskan kepada manusia. Sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam dalam Al-Quran dalam Surah Ali-Imran 49-51 yang bermaksud:

49. Dan (sebagai) Rasul kepada Bani Israil (yang berkata kepada mereka) : “Sesungguhnya Aku telah datang kepadamu dengan membawa sesuatu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu, iaitu Aku membuat untuk kamu dari tanah berbentuk burung; Kemudian Aku meniupnya, Maka ia menjadi seekor burung dengan izin Allah; dan Aku menyembuhkan orang yang buta sejak dari lahirnya dan orang yang berpenyakit sopak; dan Aku menghidupkan orang mati dengan izin Allah; dan Aku kabarkan kepadamu apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumahmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah suatu tanda (kebenaran kerasulanku) bagimu, jika kamu sungguh-sungguh beriman.

50. Dan (aku datang kepadamu) membenarkan Taurat yang datang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagimu sebahagian yang telah diharamkan untukmu, dan Aku datang kepadamu dengan membawa suatu tanda (mukjizat) daripada Tuhanmu. Kerana itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

51. “Sesungguhnya Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, kerana itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus”.

Wednesday, February 11, 2009

Asas Kepercayaan Kristian Yang Perlu Diketahui Siri 9 (Ketuhanan Jesus)

Seperti yang kita pernah sentuh pada artikel sebelum ini, Nabi Isa (Jesus) boleh melakukan pelbagai mukjizat. Di antara mukjizat yang boleh dilakukan oleh Nabi Isa (Jesus) ialah :

1) Menyembuhkan orang yang sakit kusta (Matius 8:1-3)
2) Meneduhkan ribut (Matius 8:23-27)
3) Menyembuhkan orang yang lumpuh (Matius 9:1-8)
4) Mencelikkan orang buta (Matius 20:29-34)
5) Menghidupkan orang yang mati (Lukas 8:49-56)
6) Memberikan makan kepada ramai orang (Matius 14:13-21)

Kita sebagai umat Islam meyakini bahawa anugerah yang dikurniakan kepada Nabi Isa boleh melakukan semua mukjizat ini tidak lebih daripada membenarkan bahawa Nabi Isa itu sememangnya utusan Allah. Seperti yang kita semua sedia maklum, dalam Islam sebab seorang rasul dikurniakan mukjizat adalah bertujuan untuk membuktikan kebenaran risalah yang dibawanya. Namun dalam hal ini, rakan-rakanku penganut Kristian telah tersilap kerana mereka juga membaca di dalam kitab mereka bukan Jesus seorang sahaja yang melakukan mukjizat. Bahkan Nabi Musa (Moses) juga dikurniakan mukjizat, Nabi Ibrahim (Abraham) juga dikurniakan mukjizat dan begitu juga dengan nabi-nabi yang lain.

Apabila mereka membaca mukjizat yang dikurniakan Allah kepada nabi-nabi lain, mereka tetap merasakan kehebatan pemberi mukjizat, tetapi apabila mereka membaca tentang mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada Jesus mereka mengubah mentaliti mereka kepada merasakan bahawa Jesus itu hebat, bahkan dialah Tuhan setaraf dengan Tuhan Semesta Alam. Sekiranya Nabi Musa memiliki mukjizat tongkat yang apabila dicampakkan lalu bertukar menjadi ular, Nabi Ibrahim pula apabila dicampakkan ke dalam api yang sifatnya membakar lalu api itu hilang sifat membakarnya. Semua mukjizat ini tetap tidak mengubah sifat manusia yang ada pada nabi-nabi ini. Maka begitulah sepatutnya rakan-rakan Kristianku berfikir apabila berhadapan dengan mukjizat Nabi Isa atau Jesus.

Bersambung siri 10.....

Monday, February 9, 2009

Asas Kepercayaan Kristian Yang Perlu Diketahui Siri 8 (Ketuhanan Jesus)


iii) Ketuhanan Jesus

Dalam artikel sebelum ini, kita telah membincangkan tentang maksud sebenar 'anak tuhan' yang disebut dalam Bible. Oleh kerana penganut Kristian mempercayai Jesus anak tuhan maka mereka juga sangat meyakini tentang sifat ketuhanan Jesus. Jesus dianggap Tuhan sama seperti pencipta alam ini iaitu Allah SWT. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk mendoktrinkan kepercayaan ini.

Analogi yang biasa digunakan :

- Anak Kuda = Kuda
- Anak Kucing = Kucing
- Anak Tuhan = Tuhan

Mereka mengatakan bahawa, anak kuda yang dilahirkan oleh seekor kuda pastinya akan menjadi kuda. Anak kucing yang dilahirkan oleh seekor kucing maka sudah tentu akan menjadi kucing, maka begitulah juga Jesus. Oleh kerana dia adalah Anak Tuhan maka sudah tentulah dia juga adalah Tuhan.

Selain itu, mereka juga bersandarkan kepada petikan-petikan dari kitab bible untuk membuktikan Jesus adalah tuhan. Antara alasan yang digunakan oleh penganut kristian ialah :

  • Kelahiran yang sangat ajaib (seperti yang dimuatkan dalam artikel sebelum ini)
  • Jesus melakukan pelbagai mukjizat (akan disentuh pd siri akan dtg)

Bersambung siri 9.....

Wednesday, February 4, 2009

Asas Kepercayaan Kristian Yang Perlu Diketahui Siri 7 (Anak Tuhan)


Yeremia 31: 9
Dengan menangis mereka akan datang, dengan hiburan Aku akan membawa mereka ; Aku akan memimpin mereka ke sungai-sungai, di jalan yang rata, di mana mereka tidak akan tersandung ; sebab Aku telah menjadi bapa Israel, Efraim adalah anak sulung-Ku.

Roma 8 : 29
Sebab semua orang yang dipilih-Nya dari semula, mereka juga ditentukan-Nya dari semula untuk menjadi serupa dengan gambaran anak-Nya, supaya Ia, Anak-Nya itu, menjadi yang sulung di antara banyak saudara.

Roma 8 :14
Semua orang yang dipimpin Roh Allah adalah anak Allah.

Ayat ini menunjukkan bahawa bukan Jesus sahaja yang dipanggil anak di dalam Bible. Perkataan anak sebenarnya merujuk kepada orang-orang yang baik dalam sesebuah masyarakat.

Kejadian 6: 2
Maka anak-anak Allah melihat bahawa anak-anak perempuan manusia itu cantik-cantik, lalu mereka mengambil isteri dari antara perempuan-perempuan itu, siapa saja yang disukai mereka.

Maka, ayat-ayat ini sekiranya kita ambil maknanya secara harfiyah maka sudah tentulah jumlah atau bilangan anak Tuhan sangat ramai dan bukan Jesus seorang sahaja. Jelaslah, pengertian ‘anak’ di dalam Bible ini telah disalah ertikan oleh penganut Kristian. Maka, benarlah maksud perkataan ‘anak’ di dalam Bible ialah orang yang hampir dengan tuhan atau orang yang membuat kebaikan. Renung2fikir2.....

Wednesday, January 28, 2009

Asas Kepercayaan Kristian Yang Perlu Diketahui Siri 6 (Anak Tuhan)


Apakah maksud sebenar perkataan anak di dalam Bible?

Seperti yang kita semua sedia maklum, penganut Kristian mengganggap Jesus (Nabi Isa) sebagai anak tuhan yang merupakan salah satu oknum daripada 3 oknum dalam konsep Triniti. Sebenarnya, pengertian ‘anak’ di dalam Bible ini telah disalah ertikan oleh penganut Kristian. Sebenarnya, maksud perkataan ‘anak’ di dalam Bible ialah orang yang hampir dengan tuhan atau orang yang membuat kebaikan. Perkara ini telah dibuktikan dan dinyatakan pada banyak tempat di dalam Bible sama ada di dalam Perjanjian Lama mahupun Perjanjian Baru.

Di antara ayat-ayat berkaitan dengan anak tuhan di dalam Bible yang perlu diketahui oleh pengkaji Bible dan juga penganut Kristian itu sendiri ialah :

1) Matius 5 : 9
Berbahagialah orang yang membawa damai, kerana mereka akan disebut anak Allah

2) Ulangan 14 : 1
Kamulah anak-anak TUHAN, Allahmu; janganlah kamu menoreh-noreh dirimu ataupun menggundul rambut di atas dahimu kerana kematian seseorang;

3) Keluaran 4 : 22
Maka engkau harus berkata kepada Firaun: Beginilah firman TUHAN: Israel ialah anak-Ku, anak-Ku yang sulung;

Bersambung siri 7.....

Tuesday, January 27, 2009

Asas Kepercayaan Kristian Yang Perlu Diketahui Siri 5 (Anak Tuhan)


Sebenarnya di sisi Allah, penciptaan Nabi Isa atau Jesus tanpa bapa adalah suatu yang amat mudah bagi Allah. Allah menempelak kepercayaan Kristian ini dengan sepotong ayat sahaja. Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 59 :

Sesungguhnya, misal (penciptaan) Isa di sisi Allah adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah. Kemudian Allah berfirman kepadanya : “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia.

Justeru, kenapa umat Islam sangat marah bila orang Kristian beranggapan Jesus anak tuhan? Baiklah, cuba kita semua bayangkan...kalau adik perempuan anda dituduh ada anak sedangkan dia belum lagi berkahwin. Anda marah atau tidak? Sudah tentulah marah, kerana itu adalah satu fitnah yang besar dan sangat memalukan dia kerana tidak sepatutnya ada anak sebelum berkahwin. Begitu jugalah kita umat Islam, kita sepatutnya marah kerana Allah dituduh dengan sifat yang tidak sepatutnya dengan kedudukanNya sebagai Tuhan sekalian alam.

Bahkan sebenarnya penciptaan Isa atau Jesus tanpa bapa ini melengkapkan lagi bukti kekuasaan Allah dalam proses penciptaan manusia. Allah telah menciptakan Adam tanpa lelaki dan tanpa perempuan. Kemudian Allah menciptakan Hawa dari seorang lelaki tanpa perempuan. Kemudian Allah menciptakan sekalian manusia yang lain manusia yang lain melalui proses yang normal iaitu melalui seorang lelaki dan seorang perempuan. Maka penciptaan Nabi Isa atau Jesus dari seorang perempuan tanpa lelaki hanya menggenapkan pembuktian kuasa Allah yang mampu keluar dari sunnatullah yang ditetapkanNya sendiri…

Bersambung siri 6.....