Sunday, November 9, 2008

SEJARAH AGAMA KRISTIAN SIRI 1

Jesus Nabi, siapa Paulus?

Berkaitan dengan Nabi Isa (Jesus), saya telah nyatakan sebelum ini bahawa sebagai umat Islam kita percaya Nabi Isa adalah seorang utusan Allah dengan membawa ajaran tauhid untuk mengajak umat manusia kepada penyembahan Allah yang Maha Esa semata-mata dan menghapuskan syirik kepadaNya sama seperti nabi-nabi yang lain. Sebagai umat Islam, kita juga percaya bahawa Nabi Isa telah dikurniakan sebuah kitab iaitu Injil sebagai panduan kepada umatnya.

Nabi Isa telah menyampaikan dakwahnya kepada sepertimana yang diperintahkan Allah kepadanya dan kepada nabi-nabi yang lain. Namun, Nabi Isa telah ditentang oleh umatnya dari kalangan orang Yahudi khususnya golongan Rabai atau alim ulama Yahudi kerana merasakan kedudukan mereka terganggu. Hal ini juga berlaku kepada nabi-nabi yang lain semasa menyampaikan agama tauhid ini (Islam) kepadaumat manusia.

Disebabkan rasa tergugat golongan Rabai atau alim ulama Yahudi ini, maka mereka telah melemparkan fitnah terhadap Nabi Isa dan berkompromi dengan pemerintah pada masa itu untuk menangkap dan membunuh Nabi Isa. Tetapi, Allah telah menyelamatkan Nabi Isa dengan cara mengubah wajah salah seorang pengikut Nabi Isa iaitu Yudas Eskariot sama seperti Nabi Isa.

Yudas Eskariot akhirnya disalib dan Nabi Isa diselamatkan oleh Allah dengan mengangkatnya ke langit. Pengikut-pengikut Nabi Isa terus berusaha menyampaikan ajaran tauhid (Islam) seperti yang mereka terima daripada Nabi Isa. Namun malangnya, seorang yang bernama Paulus atau Saulus telah berjaya mengubah ajaran Nabi Isa seperti yang ada pada hari ini.

No comments: